Wednesday, September 5, 2012

2. NILAI KEBERANIAN


Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai keberanian yang terdapat dalam novel.

          Dua buah novel yang telah saya pelajari ialah novel ‘Papa’ karya Deana Yusof dan ‘Konserto Terakhir’ karya Abdullah Hussain. Dalam kedua-dua novel ini, pengarang dengan bijaknya telah menyelitkan pelbagai nilai murni bagi dijadikan teladan pembaca. Antara nilai yang terdapat dalam kedua-dua novel ini ialah nilai keberanian.

          Dalam novel ‘Papa’, nilai keberanian jelas dipaparkan oleh watak Intan Maliana. Intan Maliana merupakan isteri Jeffri dan juga ibu kepada Intan Julia. Walaupun dia pernah mengalami komplikasi apabila melahirkan Intan Julia, Intan Maliana tetap ingin meneruskan kandungan kembarnya demi kebahagiaan suaminya, Jeffri. Dia memaparkan nilai keberanian apabila masih tegas dengan keputusannya untuk mengambil risiko yang besar bagi melahirkan anak kembar tersebut walaupun telah ditegur dan dinasihati. Akhirnya, kedua-dua anaknya meninggal dunia dan dia pula jatuh koma.

          Dalam novel ‘Konserto Terakhir’ pula, watak Hilmi memaparkan nilai keberanian. Hilmi datang dari kawasan kampung. Dia juga hanya berpendidikan hingga darjah empat sekolah Melayu. Walau bagaimanapun, Hilmi menunjukkan nilai keberanian apabila dia membuat keputusan hendak ke bandar untuk mencari pekerjaan atas permintaan ‘bapa’nya, Pak Karim. Hilmi tetap berani mengembara ke bandar dengan kemampuan dan kemahirannya yang rendah dan akhirnya, dia berjaya manjadi pemuzik yang terkenal atas keberaniannya.

Disediakan oleh Chloe Soh (5W)

1 comment:

  1. terima kasih cikgu sebab bagi ilmu yang bermanfaat !

    ReplyDelete