Friday, September 7, 2012

Soalan 5 – PERBANDINGAN WATAK SAMPINGAN


Pilih dua buah novel yang anda pelajari. Bandingkan satu watak sampingan daripada kedua-dua buah novel tersebut.

         Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain dan novel Papa... (akhirnya kau tewas jua!), karya Deana Yusof. Kedua-dua novel ini mengandungi beberapa watak sampingan yang meyumbang kepada perkembangan plot novel masing-masing. Salah satu watak sampingan daripada novel Konserto Terakhir ialah Datuk Johari manakala satu watak sampingan daripada novel Papa ialah Encik Jeffri. Kedua-dua watak ini mempunyai persamaan dan perbezaan antara satu sama lain.

         Datuk Johari dan Encik Jeffri, yang dikenali sebagai Papa mempunyai ciri yang sama iaitu mereka merupakan penyayang. Dalam novel Konserto Terakhir, Datuk Johari merupakan seorang penyayang kepada keluarganya. Contohnya, Datuk Johari sanggup rajin bekerja supaya isterinya, Datin Salmah dan anaknya, Hayati dapat hidup dengan mewah. Encik Jeffri dalam novel Papa juga merupakan seorang penyayang. Buktinya, Encik Jeffri amat menyayangi isterinya walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjaga isterinya, Intan Maliana yang berada dalam koma.

         Manakala, perbezaan perwatakan Papa dan Datuk Johari ialah Datuk Johari ialah seorang yang lebih mementingkan status daripada tali kekeluargaan manakala Papa ialah seorang yang mementingkan hubungan kekeluargaan. Contohnya, Datuk Johari berasa malu untuk menerangkan kepada orang lain bahawa Hilmi merupakan anak saudaranya dan bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya. Hal ini disebabkan Hilmi merupakan seorang pemuda kampung dan bersekolah setakat darjah empat sekolah Melayu. Manakala, Papa pula seorang yang mementingkan ikatan kekeluargaan. Buktinya ialah Papa membawa Mak Cik Noraini yakni sepupunya tinggal dengannya selepas kematian suami dan anak-anaknya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada malam raya suatu ketika dahulu. Walaupun Mak Cik Noraini berkhidmat di rumah keluarga Jeffri sebagai pembantu rumah namun Papa menganggapnya sebagai ahli keluarganya. 

          Perbezaan yang lain antara dua watak ini ialah pegangan agama mereka. Papa merupakan seorang yang mengamalkan ajaran agamanya dan tidak meninggalkan solatnya. Buktinya, dia dan Intan Julia, anaknya pergi menjenguk Intan Maliana di biliknya selepas menunaikan solat Maghrib. Situasi ini berbeza dengan Datuk Johari dalam novel Konserto Terakhir. Datuk Johari pula seorang yang mengabaikan tanggungjawabnya sebagai penganut agama Islam. Dia tidak bersolat dan mempunyai sebuah bar mini di rumahnya.

Oleh: Gloria Su Mi Li (5W)

No comments:

Post a Comment