Sunday, November 4, 2012

NOVEL 8: KRITIKAN SOSIAL / KEPINCANGAN SOSIAL (MASYARAKAT)


(i) Berdasarkan  sebuah novel  yang  telah  anda pelajari , jelaskan dua kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam novel tersebut.

            Novel yang saya pelajari ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Terdapat beberapa kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam novel  tersebut.

            Antara kritikan sosial termasuklah sikap masyarakat yang memandang rendah atas keupayaan orang lain atas sebab-sebab tertentu. Sikap ini dapat ditunjukkan melalui watak Datuk Johari. Contohnya, Datuk Johari tidak mahu menghargai kebolehan Hilmi yang sudah berjaya menjadi seniman agung. Walaupun dia diberikan tiket untuk menonton Pertunjukan Orkes Perdana tetapi dia memulangkan tiket itu kepada orang yang memberinya kerana dia menganggap kebolehan dan bakat Hilmi tidak ke mana-mana. Hal ini disebabkan  Hilmi hanya lulus setakat darjah empat sekolah Melayu. Bukan itu sahaja, dia tidak mahu menyebut nama Hilmi apabila Datin Salmah mengajaknya untuk menonton pertunjukan itu.

            Kritikan sosial yang seterusnya yang ingin diterangkan oleh Abdullah Hussain ialah sikap masyarakat yang mementingkan status dan kedudukan sosial. Sikap ini telah jelas dipaparkan oleh  watak Datin Salmah. Datin Salmah yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga kaya berasa amat bangga, sombong, dan mementingkan kedudukan. Misalnya, Datin Salmah mahu orang menghormatinya, malah dia suka orang menyebutnya ‘Datin’ ketika menyapa dan berbual dengannya. Oleh itu, apabila Hilmi memanggilnya dengan panggilan Mak Cik Salmah, dia rasa tersinggung. Di samping itu, apabila Mak Cik Minah melayani Hilmi dengan baik dan menyapanya dengan menggunakan perkataan ‘Encik’, Datin Salmah memarahi Mak Minah sehingga Mak Minah melongo apabila mendengar kata-kata Datin Salmah. Oleh itu, didapati Datin Salmah bukan sahaja tidak mahu melayani Hilmi dengan baik, malah juga melarang pembantu rumahnya memberi layanan yang baik dan berencik-encik kepada Hilmi.


KRITIKAN SOSIAL NOVEL PAPA

1.   Mengingkari perintah Tuhan dan melakukan dosa – Encik Muaz al-Khalibi telah menodai pengemas biliknya sehingga mengandung, namun enggan bertanggungjawab. Sebagai akibatnya, pengemas rumah warga Indonesia itu meninggalkan Rasylan yang baru dilahirkan di tepi sebuah longkang besar.
2.      Iri hati dan mempengaruhi orang untuk membenci seseorang – Murni menghasut rakan sekelas yang lain agar memusuhi Intan Julia.
3.   Dendam yang berpanjangan - Datuk Mustakim melanggar ibu bapa Jeffri ketika pulang dari solat tarawih. Bapanya meninggal dunia manakala ibunya lumpuh. Jeffri berasa marah kerana Datuk Mustakim tidak berhenti selepas kemalangan itu walaupun dia menanggung kos rawatan ibunya hinggalah ibunya meninggal dunia. Rasylan mencadangkan agar papa Julia, Jeffri bertemu dengan Datuk Mustakim tetapi papa Julia enggan.

Oleh: Kimberly Ling (5W WMSKL)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(ii) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelakari, bincangkan tiga kritikan penulis terhadap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

            Novel yang teleh saya kaji ialah Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Pengarang telah mengkritik beberapa kepincangan yang berlaku dalam masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

            Antara kritikan penulis ialah penulis mengkritik masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, Datuk Johari telah meninggalkan kampungnya bersama surat perceraian untuk isterinya pada malam pengantin dan terus berhijrah ke Kuala Lumpur. Kesan kepada peristiwa ini ialah bapa Datuk Johari telah bergaduh besar dengan bapa bekas isteri yang ditinggalkan oleh Datuk Johari. Hubungan antara dua keluarga tersebut hampir pincang. Peristiwa ini selesai apabila sepupu Datuk Johari, Karim menawarkan diri untuk mengahwini bekas isteri Datuk Johari. Peristiwa ini menunjukkan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang boleh membawa menjejaskan hubungan kekeluargaan.

            Selain itu, penulis mengkritik masyarakat yang mementingkan status diri. Tamsilnya, Datin Salmah sering mengejek Hilmi kerana dia hanya mempunyai pendidikan setakat darjah empat sekolah Melayu. Dia tidak menyenangi kehadiran Hilmi yang datang dari kampung di rumahnya walaupun Hilmi merupakan anak saudara suaminya. Datin Salmah tergamam apabila Hilmi tidak membahasakan dirinya sebagai ‘datin’ sebaliknya memanggilnya ‘mak cik’. Datin Salmah juga sentiasa mencari peluang untuk mengusir Hilmi dari rumahnya selepas termakan dengan hasutan kakaknya, Datin Laila demi menjaga maruahnya. Hal ini menunjukkan sikap sesetengah masyarakat yang lebih mementingkan status daripada hubungan persaudaraan.

            Di samping itu, penulis juga mengkritik masyarakat yang menghasut. Misalnya, apabila Mohsin yang sedang mengisi minyak motokar ternampak Hilmi yang sedang bekerja di stesen minyak, dia memberitahu tauke stesen minyak itu bahawa Hilmi pernah menjadi tukang kebun di rumah Datuk Johari, tetapi lari dari situ. Dia meminta tauke stesen minyak itu supaya memecat Hilmi dan jika tidak, dia tidak akan pergi mengisi minyak di situ lagi. Peristiwa ini memaparkan bahawa masih terdapat lagi sikap masyarakat yang suka menghasut dan menabur fitnah kepada orang lain demi kepentingan diri yang akan menjejaskan kehidupan orang lain.

Rangka Novel Papa

1. Masyarakat yang percaya akan perkara yang karut
- Mak Cik Noraini kurang senang dengan tindakan papa menyediakan kelengkapan kelahiran bayi lebih awal, iaitu ketika kandungan mama baru berusia lima bulan kerana menurut kata orang tua-tua, perkara itu tidak baik.
2. Masyarakat yang bersikap cemburu
- Rasylan berasa cemburu apabila melihat Julia ditegur oleh pelajar yang lebih senior
3. Masyarakat yang mudah memandang serong terhadap seseorang
- Papa tidak suka Julia berkawan rapat dengan Rasylan setelah mendapat tahu latar belakang ibu bapa Rasylan yang tidak diketahui asal usulnya.

OLEH: ANGELINE HONG (5P WMSKL)

3 comments:

  1. Ada tak novel Silir Daksina untuk kepincangan masyarakat

    ReplyDelete
  2. Ada tak novel Silir Daksina untuk kepincangan masyarakat

    ReplyDelete