Sunday, May 4, 2014

KARANGAN 10 : PERANAN REMAJA SEBAGAI MODAL INSAN NEGARA

(I) Memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja seperti saya merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. (T) Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad. (A) Jadi, apakah peranan remaja dalam usaha untuk merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti?

(I) Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, remaja haruslah mempunyai pendidikan formal yang sempurna. (M) Kejayaan dalam pendidikan akademik merupakan satu platform yang amat penting untuk memastikan saya dapat menjadi modal insan yang berkualiti lagi syumul. Tanpa pendidikan akademik yang sempurna sudah pasti impian remaja untuk cemerlang dalam bidang yang diimpikan akan menjadi angan-angan Mat Jenin. (BA) Oleh itu, remaja haruslah memerah otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Remaja dapat mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang,  ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. (K) Dengan berbekalkan kejayaan akademik remaja dapat bersaing dengan masyarakat global dengan penuh keyakinan dan sekali gus dapat mengharumkan nama negara di pentas dunia. (P) Tegasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?

(I) Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja haruslah mengamalkan gaya hidup sihat . (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kesihatan yang baik dapat menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Bukan itu sahaja, kesihatan yang baik juga merupakan aset yang paling berharga dalam kehidupan manusia. (BA) Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, remaja haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, remaja perlu menjaga pemakanan setiap masa untuk meneruskan kehidupan di muka bumi dengan kesihatan yang terjamin. Remaja haruslah mengamalkan falsafah Barat iaitu kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak juga perlu dihindari oleh remaja kerana mengundang pelbagai komplikasi. (K) Sekiranya remaja membudayakan amalan gaya hidup yang sihat sudah pasti sayagolongan yang separa matang ini dapat menjalankan kewajipan mereka sebagai modal insan negara yang berkualiti untuk memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih membanggakan. (P) Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi antara agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang berkualiti.

(I) Di samping gaya hidup sihat, remaja haruslah mempunyai jati diri yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. (M) Hal ini dapat memandu dan memimpin remaja agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. (BA) Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum, ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. (K) Sehubungan dengan ini, remaja  haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. (P) Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
              
(I) Tidak ketinggalan juga, remaja juga haruslah menghayati ajaran agama. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran agama, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. (M) Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa nafsu. (BA) Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Benarlah kata Albert Einstein, “Agama tanpa ilmu akan buta tetapi ilmu tanpa agama akan lumpuh”. (K) Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan. (P) Ringkasnya, nilai-nilai keagamaan haruslah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk diri remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
              
(K) Akhirulkalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat walafiat dan beriman. (C) Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. (H) Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.



   

No comments:

Post a Comment