Saturday, May 3, 2014

KARANGAN 2 : PERANAN MASYARAKAT UNTUK MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG




PENDAHULUAN
(T) Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang boleh diertikan sebagai kelompok masyarakat yang hidup dalam suasana saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah terhadap mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Cara hidup ini juga dikenali sebagai ‘budaya ikram’. Tun Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri. (I) Sayangnya, kehidupan dalam suasana pemuafakatan antara ahli-ahli keluarga yang terjalin mesra, bertimbang rasa, faham-memahami, hormat-menghormati sudah semakin terhakis dan telah diganti dengan sikap individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan tidak peduli yang menebal. Sama ada kita mahu menerima hakikat ini ataupun tidak, fenomena inilah merupakan salah satu daripada punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat seperti yang dihidangkan oleh media massa setiap hari. Malah boleh dikatakan, hampir setiap hari akhbar-akhbar melaporkan berita kejadian penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, pergaduhan yang berakhir dengan kematian, penculikan kanak-kanak, remaja lari dari rumah, murid ponteng sekolah, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi masalah yang melibatkan setiap lapisan individu dalam masyarakat. (A) Sebelum bisul menjadi nanah, setiap anggota masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama dan status harus memainkan peranan masing-masing untuk menangani masalah ini supaya masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.

(P1) Peranan masyarakat yang signifikan ialah setiap individu masyarakat haruslah mempunyai didikan agama yang mantap dan utuh. (M) Membentuk sebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah dengan pembentukan masyarakat yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya iaitu didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama mengajar umatnya supaya berkasih sayang sama ada kasih sayang kepada Pencipta, kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang kepada makhluk yang lain di muka bumi ini. Tanpa didikan agama, sudah pasti kehidupan manusia akan keberantakan lantaran nipisnya keimanan yang dimiliki senipis kulit bawang. (B) Sekiranya kita mempunyai keimanan yang tebal sudah pasti kita tidak akan melakukan kezaliman dan penganiayaan kepada insan lain seperti kes penganiayaan bayi, kes pembunuhan, perogolan, penindasan dan sebagainya. Bukan sahaja itu, kemusnahan alam sekitar juga dapat dielakkan. (K) Sejajar dengan itu, masyarakat yang penyayang dapat mengurangkan kadar jenayah dan setiap anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Lebih-lebih lagi pembangunan yang lestari dan mapan dapat dipraktikkan disebabkan sifat penyayang telah mulai membenih dalam jiwa masyarakat kita. (P) Maka jelaslah di sini bahawa didikan agama yang mantap mampu melahirkan masyarakat yang penyayang demi kebaikan bersama.

(P2) Jika kita kaji dari dimensi yang lain, peranan masyarakat yang lain adalah dengan menjadi suri teladan kepada golongan yang masih hijau atau separa matang. Dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan utama. (M) Hal ini disebabkan setiap individu yang dilahirkan dalam negara kita dilahirkan oleh kesemua ibu bapa dan ibu bapa sepatutnya berusaha membentuk seorang anak yang memiliki sifat-sifat penyayang. Jika setiap ibu bapa terlibat dalam usaha ini dan penggabungan kesemua anak di Malaysia sudah mampu melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang. (B) Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak bak kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’. Pepatah ini membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya jejak langkah meraka akan diikuti oleh anak mereka. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri perlu mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka supaya anak-anak yang membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang. (K) Keadaan ini secara tidak langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai sifat kasih sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan kasih sayang. Akhirnya, masyarakat yang penyayang yang lahir daripada insititusi keluarga yang penyayang dapat dilahirkan. (P) Tegasnya, sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan masyarakat yang penyayang.

(P3) Selain itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab pihak sekolah juga haruslah memikul obligasi untuk melahirkan masyarakt yang penyayang. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah juga merupakan salah satu ejen yang penting dalam membentuk masyarakat yang penyayang. Lagipun, golongan kanak-kanak dan remaja banyak menghabiskan masa mereka di sekolah selain rumah dan sekolah dianggap sebagai rumah kedua mereka. (B) Pendedahan nilai-nilai murni harus didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar. Oleh itu, pihak  sekolah tidak seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai murni kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam sahaja tetapi nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu dua subjek tersebut.  Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi seperti kata peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Seterusnya  pendekatan-pendekatan yang bersifat penyayang semasa proses pembelajaran dan pengajaran seharusnya dikreatifkan. (K) Dengan ini,  para pelajar dapat membesar dengan persekitaran yang penyayang dan harmoni sekali gus impian untuk melahirkan masyarakat penyayang dapat direalisasikan. Bukan itu sahaja, impian negara untuk melahirkan modal insan bermentaliti kelas pertama dapat dilahirkan. (P) Jadi, peranan masyarakat pendidik untuk melahirkan masyarakat penyayang tidak dapat dipertikaikan lagi.

(P4) Peranan masyarakat yang seterusnya ialah aktiviti-aktiviti kemasyarakatan diperbanyakkan. (M) Melalui aktiviti kemasyarakatan yang diadakan, setiap anggota masyarakat akan bersatu kudrat dan sebulat suara untuk menjayakan aktiviti yang dijalankan persis kata orang tua-tua, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Bukan itu sahaja, sifat penyayang akan terserlah melalui amalan tolong-menolong dan bertoleransi dalam aktivti-aktiviti tersebut. (B) Sebagai tamsilannya, amalan rumah terbuka akan menggalakkan aktiviti ziarah-menziarahi jiran tetangga, saudara-mara dan  rumah-rumah kebajikan pada hari-hari perayaan. Manakala penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti gotong-royong dan kerja sukarela juga perlulah diperbanyakkan. (K) Aktiviti-aktiviti sosial ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain di samping memupuk sikap pemurah, ikhlas, sentiasa sanggup membantu dan menghulurkan tenaga untuk golongan yang tidak berkemampuan ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Akhirnya, masyarakat yang berjiwa penyayang dapat dilahirkan untuk membentuk sebuah negara yang harmoni dan bertaraf kelas pertama. (P) Deduksinya, penganjuran aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang banyak merupakan antara elemen yang penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.

(P5) Meninjau dari skop yang berbeza, masyarakat yang penyayang juga dapat dilahirkan melalui kempen kesedaran yang efektif. Usaha ini dapat dilaksanakan oleh golongan masyarakat media sama ada media elektronik atau media cetak. (M) Seperti yang diketahui umum bahawa media merupakan wahana yang berkesan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan amalan penyayang dalam menjalani kehidupan harian kita.  Pihak media lebih menitikberatkan aspek sosial iaitu hubungan sesama manusia untuk didedahkan tatapan umum. (B) Oleh itu, pihak media yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang prihatin haruslah menggiatkan pelaksanaan kempen ‘Keluarga Bahagia’, ‘Penerapan Nilai-nilai Murni’ dan ‘Cintai Sungai Kita’ untuk menerapkan budaya penyayang dalam kalangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini haruslah diadakan secara berterusan dan bukannya bermusim  atau hangat-hangat tahi ayam. (K) Sehubungan dengan itu, masyarakat sedar akan kepentingan amalan penyayang dalam konteks kehidupan bermasyarakat. Sikap menganiayai, menindas dan memusnahkan kepentingan orang lain dapat dihindarkan sekali gus dapat menyemai sikap prihatin dalam kalbu masyarakat kita hari ini. (P) Izharlah bahawa peranan masyarakat media melalui kempen-kempen yang diadakan dapat membentuk masyarakat yang penyayang.

PENUTUP
(K) Bulan semakin terang bahawa peranan setiap anggota masyarakat amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang.  Kasih sayang merupakan suatu fitrah yang amat bernilai dalam diri manusia. Kasih sayang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Pernyataan ini disokong oleh sabda Rasulullah S.A.W dalam memupuk amalan kasih sayang yang bermaksud, “ Tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri”. (C) Oleh itu, setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil  inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi  merealisasikan pembentukan masyarakat  penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita tidak seharusnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja untuk menjayakan matlamat ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Ibu bapa seyogianya memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi muda yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka menbantu orang lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling membantu serta saling menyayangi ibarat yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kita juga harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. (H) Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat  kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Tokoh pujangga yang bernama Ahmad Shauqi Bey berkata, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap”. Diharapkan pembentukan masyarakat penyayang dapat merealisasikan visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 dengan mudahnya.



                    





6 comments: