Saturday, May 3, 2014

KARANGAN 3: PUNCA DAN LANGKAH MENANGANI JENAYAH




Definisi jenayah ialah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Terdapat dua jenis jenayah, iaitu jenayah ringan dan jenayah berat. Jenayah ringan merangkumi perbuatan mencuri, samun, dan meragut. Jenayah berat pula termasuklah membunuh, merogol, mendera, mengedar dadah serta menyeludup barangan haram. Dewasa ini, media massa sering melaporkan pelbagai kes jenayah yang berlaku di seluruh negara. Kita sering digemparkan dengan kes rogol dan bunuh, gengsterisme, meragut, menyamun, rasuah, dan penyeludupan. Peningkatan jenayah di negara ini lebih ketara di kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur dan Ipoh mempunyai rekod jenayah yang paling tinggi setiap tahun. Ada dalam kalangan kita mungkin tertanya-tanya tentang punca yang menjadi dalang peningkatan kes jenayah di negara kita, terutamanya di bandar-bandar utama. Oleh itu, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

Banyak laporan menjelaskan bahawa punca utama kes jenayah meningkat ialah kurangnya didikan agama dalam kalangan masyarakat hari ini. Hal ini disebabkan generasi hari ini sudah mula mengabaikan ajaran dan didikan agama kerana mereka berpendapat bahawa ajaran agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman. Natijahnya, wujudlah kelompok masyarakat yang mempunyai keimanan yang rapuh dan nipis senipis kulit bawang dalam diri mereka. Golongan inilah yang akan terlibat dalam pelbagai jenayah kerana mereka tidak ber­pegang teguh kepada ajaran agama. Contohnya, kes rogol dan bunuh Canny Ong Lay Kian menunjukkan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang sanggup bertindak mengikut hawa nafsu mereka. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini tidak berasa takut mahupun gentar apabila mereka mengambil sesuatu tindakan yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama. Dengan kata lain, mereka tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Mereka tidak dapat menghayati dan mengamalkan peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Golongan ini juga gagal menghayati Islam Hadhari yang mementingkan aspek lahiriah dan rohaniah untuk melahirkan insan yang seimbang. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif seperti melibatkan diri dalam aktiviti jenayah. Tegasnya, kegoyahan iman akan lantaran kurangnya pegangan agama yang mantap mendorong seseorang itu terjebak dalam kancah jenayah.

Di samping itu, media massa turut menjadi punca peningkatan masalah jenayah di negara ini. Perkara ini disebabkan penyiaran rancangan-rancangan berunsur keganasan dan seks yang melampau telah menyebabkan minda masyarakat dipengaruhi oleh aksi-aksi negatif tersebut. Senario ini berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah penerbit yang lebih mementingkan keuntungan diri sendiri daripada kepentingan melahirkan masyarakat yang berkeperibadian yang luhur dan unggul. Sikap penerbit ini dapat dikatakan umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai contoh, stesen televisyen swasta sering menyiarkan rancangan dari Barat yang menonjolkan unsur-unsur negatif seperti ‘rock’, ‘punk’, dan ‘black metal’. Terdapat juga sesetengah rancangan televisyen yang menggunakan pelakon-pelakon yang berpakaian tidak senonoh serta mencolok mata seperti rancangan-rancangan dari Amerika Latin. Hal ini dapat merangsang hawa nafsu penonton lantas menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti seks seperti pelacuran dan sumbang mahram. Maka, tidak hairanlah kadar jenayah khasnya jenayah rogol dalam kalangan orang yang dikenali meningkat. Masyarakat turut digemparkan dengan kes rogol dan bunuh Norita Shamsuddin dan Haserawati Saridi yang berumur sembilan tahun di Menggatal, Sabah. Di Johor, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol secara bergilir-gilir oleh beberapa orang lelaki sebelum dibunuh. Jenayah yang berlaku ini menyebabkan keadaan hidup masyarakat awam tidak tenteram dan mampu menggugat ekonomi negara disebabkan peningkatan kadar jenayah. Deduksinya, peningkatan kadar jenayah juga didorong oleh pengaruh media massa.

Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah jenayah dapat dibasmi hingga akar umbi. Salah satu pendekatan yang paling signifikan termasuklah penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah. Contohnya, Akta 302 Kanun Keseksaan perlu dikuatkuasakan dengan tegas terhadap penjenayah yang didapati membunuh atau merogol mangsanya. Penjenayah akan dijatuhi hukuman mati mandatori. Serbuan dan tangkapan kini diadakan lebih kerap dan secara rambang untuk menangkap penjenayah. Hal ini dapat menyedarkan masyarakat yang ingin berjinak-jinak dengan jenayah. Kerajaan juga telah bertindak tegas terhadap ceti haram atau ‘ah long’ kerana mereka akan mengancam keselamatan mangsa dan keluarga mangsa. Tindakan pihak berkuasa menahan dan menghadapkan pendera seorang pembantu rumah Indonesia, Nirmala Bonat ke mahkamah adalah amat wajar. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam membanteras jenayah. Oleh itu, ketelusan dan ketegasan undang-undang negara mampu menghalang peningkatan kadar jenayah negara.

Di samping hukuman dan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, kempen untuk memerangi jenayah secara besar-besaran perlu dilancarkan agar masyarakat sedar tentang keburukan jenayah. Oleh itu, mereka tidak akan bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sehingga aktiviti jenayah semakin berleluasa. Sebaliknya, mereka akan menyahut seruan kerajaan untuk membanteras jenayah bersama-sama dengan pihak berkuasa. Sebagai contoh, seorang insan kerdil yang prihatin, Rosli Mohamad Saad sanggup menggadai nyawanya untuk menangkap peragut beg tangan seorang wanita Indonesia. Kesedaran juga dapat dipupuk dalam diri masyarakat, khasnya golongan muda melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah. Golongan muda perlu dididik untuk berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang sejak muda lagi agar mereka tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam aktiviti jenayah apabila mereka dewasa kelak. Sememangnya mendidik mestilah sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kempen yang dijalankan ini perlulah dilaksanakan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam. Pendek kata, peranan kempen turut dapat mengurangkan peratusan kes jenayah di nusa tercinta ini.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kes jenayah di negara kita semakin menghantui diri kita disebabkan oleh dua faktor yang telah dibincangkan di atas dan kemelut sosial ini dapat diatasi dengan beberapa langkah yang diambil. Api sekadar meranapkan bangunan namun peningkatan kadar jenayah akan mengacaubilaukan minda segenap lapisan masyarakat kita. Andai kata kita menyingkap lembaran sejarah Malaysia, setiap permasalahan yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan penggemblengan kudrat antara pelbagai pihak. Begitu juga dengan usaha menyelesaikan masalah kes jenayah. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersinergi supaya masalah jenayah di negara ini dapat diatasi. Pendekatan yang diambil haruslah dijalankan dengan bijaksana dan berhati-hati bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Jenayah dapat diibaratkan sebagai musuh dalam selimut kepada negara. Sekiranya jenayah tidak ditangani secara bijaksana, adalah mustahil untuk rakyat negara ini hidup dalam keadaan yang harmoni dan tenteram. Marilah kita bersama-sama membanteras kegiatan jenayah agar impian untuk melahirkan masyarakat madani dapat direalisasikan.

Cadangan isi
(a)    Punca:
1.      Kurangnya didikan agama
2.      Pengaruh media massa yang memaparkan unsur-unsur negatif
3.      Sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri
(b)   Langkah:
1.      Penguatkuasaan undang-undang yang tegas
2.      Kempen kesedaran
3.      Peranan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa 
4.   Memberikan didikan agama yang teguh

          

1 comment: