Sunday, May 4, 2014

KARANGAN 4: KEPENTINGAN MEMBELI BARANGAN BUATAN TEMPATAN DAN LANGKAH MENGGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN TEMPATAN




Barangan buatan Malaysia didefinisikan sebagai hasil produk yang dikeluarkan oleh air tangan warga tempatan. Sebagai rakyat Malaysia , kita wajar menyokong hasil keluaran tempatan negara dengan cara mudah iaitu membelinya. Namun begitu, sejajar dengan landaan gelombang globasasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah mengapai hasrat sebagai negara maju. Di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-angungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak kata peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Sebagai anak watan Malaysia kita seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai sambil menyelam minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemasalahan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pameran kasut Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari segi kualiti barangan. Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekaligus meningkatkan imej negara. Jelaslah bahawa dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-angungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bagai kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan temptan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya ‘Malaysia Boleh’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara ‘kalau masih rebung,mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi’. Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Doktor Mahathir Mohammad, “Membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri”. Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantera dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barang buatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya,kita dapat memajukan industri tempatan supaya mencapai hasrat negara menjadi negara industri.

Menyoroti kemaslahatan pembelian barangan buatan tempatan yang pelbagai maka uslub atau langkah yang pragmatik lagi efektif untuk menggalakkan pembelian barangan buatan tempatan haruslah diambil. Pada era langit terbuka ini, media massa merupakan satu medium yang signifikan dalam mempengaruhi pemikiran orang ramai. Sebagaimana, yang kita tahu, media massa boleh dibahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalam menerangkan kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah. Media cetak digalakkan mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia kerana dapat mempengaruhi minda manusia yang ramai bagai mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Hal ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudan ‘online’ membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang melalui laman sesawang. Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia.

Pada masa yang sama, pihak swasta harus mengambil langkah yang proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu langkah yang maslahat adalah dengan mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa was-was. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke semasa. Hakikatnya, program Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberikan perhatian serius kepada tugas mereka dan tidak sekadar bekerja bagai melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Jadi, jelaslah bahawa galakan pembelian barangan tempatan juga dapat dilakukan oleh pihak swasta..

Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jusco, Tesco, Metrojaya, Parkson, Mydin dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Kempen ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merancakkan dan memacu tranformasi ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Oleh itu, semua agensi, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) harus memainkan peranan masing-masing. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat sinonim dengan kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan mengadakan kempen kesedaran dan ceramah yang pelbagai bentuk, barang buatan Malaysia dapat diperkenalkan kepada orang ramai supaya semua orang tidak kira orang tempatan atau pendatang dapat menarik minat terhadap barang buatan Malaysia. Secara ringkasnya, pembelian barang tempatan dapat digalakkan melalui karnival yang dianjurkan.

Sekiranya kita telusuri dari perspektif yang berbeza, pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara ,dan sanggup berkorban untuk negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat melalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik nagara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke araf baru. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita ,ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita mendapati bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan masyarakat membeli barangan buatan Malaysia.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak kata peribahasa “bagai serampang dua mata”. Bukan itu sahaja pelbagai langkah juga dapat diimplementasikan oleh pelbagai pihak untuk menyokong pembelian produk tempatan. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Oleh  itu, dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan yang perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Amatlah diharapkan supaya kempen belilah barangan buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen. Jikalau bukan kita rakyat Malaysia untuk menjulangkan produk buatan tempatan, adakah kita akan maju dan membangun? Selain itu, siapakah lagi yang akan menjulangkan produk buatan tempatan ini? Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

4 comments: