Saturday, November 1, 2014

FOKUS AKHIR SPM 1 - INDUSTRI PELANCONGAN



1.      Kebaikan amalan melancong di dalam negara bersama-sama keluarga (KELUARGA)

Melancong dapat ditakrifkan sebagai pergi bercuti atau berlibur ke sesuatu tempat untuk makan angin atau menenangkan fikiran sama ada bersama-sama dengan keluarga ataupun dengan rakan-rakan. Dewasa ini, destinasi-destinasi pelancongan di dalam negara semakin mendapat sambutan dan perhatian dalam kalangan warganegara tempatan mahupun orang luar. Hal ini merupakan hasil daripada usaha-usaha kerajaan mengadakan kempen dan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan lain-lain destinasi kepada rakyat pribumi Malaysia dan rakyat luar negara. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Sehubungan dengan itu, salah satu obligasi yang perlu dipikul oleh ibu bapa ialah ibu bapa seyogianya membawa ahli keluarganya melancong di dalam negara dengan lebih kerap untuk memartabatkan industri pelancongan negara di peringkat global. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa melancong bersama keluarga di dalam negara sememangnya membawa pelbagai kemaslahatan yang tidak dapat dinafikan. Marilah kita bersama-sama menghalusi dan meneliti keberkesanan aktiviti melancong bersama keluarga tercinta di tanah tumpahnya darah kita sendiri kerana kata orang, ”tak kenal maka tak cinta”.
Kebaikan yang perdana ialah hubungan kekeluargaan dapat dipererat. Dalam sesebuah institusi keluarga, kesibukan melayani aktiviti harian masing-masing memang tidak dapat dinafikan. Si ibu dan si ayah sibuk dengan kerjaya mereka manakala si anak pulak sibuk dengan tugasan sekolahnya. Situasi ini menyebabkan masa untuk bersama-sama dengan ahli keluarga amat terbatas. Sehubungan dengan itu, aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga ini sudah pasti dapat menyediakan satu ruang untuk ahli keluarga merapatkan hubungan yang kian renggang. Kata orang, yang jauh kita dekatkan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti di dalam negara pada musim cuti sekolah di pusat peranginan seperti di Tanah Tinggi Cameron, Genting Highlands dan Bukit Fraser. Percutian seumpama ini dapat menenangkan fikiran seisi keluarga kerana berada di kawasan yang jauh dari kesibukan. Bukan itu sahaja, Masa percutian ini juga boleh diguna untuk menyelesaikan masalah keluargaan dengan cara berbincang mengenai masalah keluarga berkenaan. Ibu bapa dan anak-anak dapat memahami antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak serta ibu bapa akan berasa lebih terbuka untuk berbincang mengenai keadaan keluarga mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang sakinah dapat dilahirkan. Tegasnya, melancong di dalam negara dapat mempererat hubungan kekeluargaan agar menjadi bagai isi dengan kuku.

Selain itu, percutian di dalam negara bersama keluarga juga dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak-anak daripada berleluasa. Melancong merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengisi masa lapang kita. Lazaimnya, semasa cuti persekolahan bermula anak-anak akan mempunyai banyak masa terluang. Sekiranya masa ini tidak dirancang dengan bijak oleh ibu bapa maka anak-anak akan hanyut dalam dunia hedonisme yang akhirnya akan membawa kedurjanaan dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, di kesempatan ini ibu bapa sering merancang percutian terutamanya di dalam negara untuk mengisi masa terluang ahli keluarganya dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan ibu bapa pada musim cuti persekolahan ialah taman tema air yang kini dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Taman tema yang sering dikunjungi oleh ahli keluarga ialah Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Tema Bukit Gambang dan Taman Tema Air A’Famosa. Kesannya, anak- anak akan terhindar daripada melakukan perkara negatif terutama pada waktu cuti sekolah seperti bercampur gaul dengan remaja yang rosak akhlak. Ibu bapa juga dapat mengetahui aktiviti anak-anak kerana sepanjang waktu melancong, anak-anak sentiasa bersama mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang harmoni dan marem dapat dilahirkan. Izharlah bahawa penglibatan anak-anak dalam gejala tidak sihat dapat dielakkan melalui aktiviti melancong bersama keluarga di dalam negara.

Seperkara lagi, ilmu pengetahuan ahli keluarga juga dapat ditingkatkan. Ilmu yang berharga ialah ilmu yang diperoleh melalui pengalaman yang dialami sendiri. Jadi, membawa ahli keluarga melancong di dalam negara membolehkan ahli keluarga kita menimba ilmu pengetahuan yang akan kita ingati selagi hayat dikandung badan. Janganlah kita taksub dengan keunikan dan keistimewaan di negra orang sedangkan keunikan di negara sendiri masih seperti katak di bawah tempurung. Jika situasi ini berlaku, sudah pasti kita akan berasa malu apabila pelancong asing bertanyakan keunikan negara kita kepada kita yang kecetekan ilmu tentang negara sendiri. Sebagai contoh, kunjungan ke tempat-tempat bersejarah seperti Melaka dan Georgetown dapat mendedahkan banyak sejarah negara kepada keluarga kita terutamanya kepada generasai muda. Kita sepatutnya menghargai pengiktirafan ’Tapak Warisan Dunia’ yang telah diberikan oleh UNESCO kepada Melaka dan Georgetown. Bandaraya Melaka perlu dijelajahi oleh ahli keluarga kerana bandar ini kaya dengan peninggalan sejarah Tanah Melayu seperti Kota A’Famosa, Bangunan Stadthuys,  Perigi hang Li Po, Makam Hang Tuah dan sebagainya. Kunjungan ke bandar-bandar bersejarah ini sudah pasti dapat mengukuhkan pengetahuan ahli keluarga kita tentang sejarah negara yang dipelajari di sekolah. Secara implisitnya, khazanah sejarah tanah air akan terus terpelihara dan sentiasa terpahat dalam memori setiap anak watan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ringkasnya, ilmu pengetahuan ahli keluarga tentang keunikan negara sendiri dapat dicapai melalui aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga.

Jika kita kaji dari perspektif yang berbeza, aktiviti melancong di dalam negara bersama-sama dengan keluarga juga dapat meningkatkan ekonomi negara supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di seantero dunia. Hal ini disebabkan oleh setiap ahli keluarga tidak perlu membazirkan wang mereka untuk bercuti ke luar negara kerana bagi mereka, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Oleh itu, apabila ahli keluarga  melancong di dalam negara sahaja, pengaliran wang ke luar negara dapat dielakkan seterusnya negara dapat menggunakan pusingan wang tersebut untuk memajukan sektor pelancongan negara lagi. Malah, kemasukan pelawat-pelawat asing juga dapat meningkatkan kadar tukaran wang sekali gus dapat menambahbanyakkan jumlah pendapatan negara. Sektor perhotelan memperoleh laba yang besar apabila para pelancong menginap di hotel seperti Hotel Seri Malaysia, Hotel Vistana Kuala Lumpur dan Hotel Bahagia Langkawi. Hal ini dibuktikan melalui pertumbuhan pesat bangunan-bangunan hotel di serata pelosok negara. Di samping itu, terdapat juga motel dan chalet didirikan oleh pengusaha pusat-pusat peranginan bagi kemudahan pelancong yang datang. Semakin banyak tempat penginapan dibina, maka semakin banyak peluang pekerjaan terbuka kepada rakyat Malaysia. Dengan ini, kadar pengangguran rakyat kita semakin menurun. Jelaslah bahawa melancong bersama keluarga dalam tempatan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam nada yang berbeza, melalui aktiviti pakej pelancongan bersama-sama keluarga di dalam negara juga dapat meningkatkan taraf destinasi pelancongan negara di mata dunia. Perkara ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah pusat pelancongan itu sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara, pelancong lain yang sebelum ini tidak pernah melawat tempat tersebut akan mempunyai semangat inkuiri untuk melihat sendiri keistimewaan dan keunikan destinasi tersebut. Oleh itu, apabila destinasi tersebut sering menjadi tumpuan dan sebutan seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron, maka tempat tersebut tidak akan putus-putus menerima pelawat seperti air yang mengalir di kali. Dengan demikian, destinasi pelancongan tersebut akan diiktiraf sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang tersohor. Seterusnya, misteri dan keanehan yang terdapat di dalam negara juga menyebabkan pelancong ingin menerokai alam tersebut seperti misteri bunga Refflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia. Secara tidak langsung, hal ini memberikan tempias kepada industri tempatan terutamanya industri desa. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan lagi bahawa lawatan-lawatan di dalam negera membolehkan destinasi pelancongan di dalam negara dinobatkan di peringkat antarabangsa.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa melancong di dalam negara bersama-sama dengan keluarga banyak memberikan kebaikan sama ada kepada institusi keluarga tersebut, mahupun negara kita, Malaysia yang indah permai ini. Industri pelancongan ini sememangnya menjurus ke arah kemajuan ekonomi sesebuah negara. Malah, industri pelancongan juga menjadi pemangkin bagi industri-industri lain untuk sama-sama berkembang maju dan seterusnya menambahkan hasil ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga haruslah menyokong industri pelancongan tempatan untuk memartabatkan industi ini di persada antarabangsa. Namun begitu, usaha ini tidak seharusnya diletakkan atas pundak kerajaan dan keluarga sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, marilah sekalian rakyat Malaysia bersatu ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Everest untuk mempopularkan industri pelancongan di pentas dunia. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat merealisasikan harapan kita agar suatu masa nanti destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia akan mendapat publisiti yang meluas, malah mendapat perhatian semua penduduk dan menjadi destinasi pelancongan yang terunggul di mata dunia. Oleh itu, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk bercuti di luar negara perlu berfikir terlebih dahulu kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar, biarlah industri pelancongan negara terus maju di seantero dunia. Malaysia Boleh!


2.      LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN DESA (NEGARA)

            Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

          Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa ini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

            Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz Nadem haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju.

          Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Ringkasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. 

            Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Antara langkah yang dapat diambil untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa adalah dengan mengadakan kempen. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pendek kata, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini.

            Jika dilihat dari skop yang berbeza, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tidak lesu serta dapat memberikan pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Izharlah bahawa untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.

            Secara intihanya, bayang kian jelas bahawa usaha semua pihak sangat signifikan dalam memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu, pihak yang berautoriti perlulah melakukan pelbagai anjakan paradigma untuk memastikan industri desa terus bersinar di negara kita. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan obligasi berat ini kepada pihak tertentu sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Komitmen jitu daripada semua pihak dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Diharapkan usaha bersama ini dapat dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan desa dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Malaysia Boleh!


3.        Usaha-usaha memajukan industri pelancongan negara (NEGARA)
(a)    Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia
(b)   memajukan infrastruktur awam dan prasarana negara
(c)    menitikberatkan aspek kebersihan
(d)   keselamatan pelancong harus dipertingkatkan
(e)    pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini


4.      Kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita (NEGARA)
(a)    memajukan ekonomi negara – pengaliran wang masuk – pelancong berbelanja
(b)   meningkatkan imej negara – layanan mesra rakyat tempatan
(c)    memajukan industri tempatan – industri kraftangan, inap desa, industri perhotelan – peluang pekerjaan  - mengurangkan kadar pengangguran negara
(d)   memperkenalkan budaya dan adat resam kepada rakyat asing
(e)    dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar


5.      Keistimewaan / Keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan (NEGARA)
(a)    Keindahan flora dan fauna
(b)   Keunikan adat resam dan kebudayaan masyarakat Malaysia
(c)    Kestabilan politik
(d)   Keindahan pantai yang bersih 
(e)  Keramahan rakyat

1 comment: