Wednesday, October 21, 2015

REVISI KARANGAN RANGSANGAN 4



KESAN-KESAN BURUK PENGGUNAAN ALAT TELEKOMUNIKASI KEPADA REMAJA PADA MASA INI (PERCUBAAN MELAKA 2015)

Dalam menelusuri era globalisasi ini, alat telekomunikasi amat penting. Kewujudannya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan semakin mewarnai pasaran di negara kita. Terdapat banyak alat komunikasi yang menguasai global pada hari ini seperti telefon bimbit, ‘facebook’, ‘instagram’,  dan sebagainya. Hampir setiap orang menggunakan alat komunikasi untuk berhubung dengan orang yang jauh di mata. Kemajuan ini menjadikan dunia semakin kecil  kerana semuanya terletak di hujung jari. Namun begitu, penciptaan alat telekomunikasi yang pada awalnya berniat murni, kini semakin ternoda dengan kesan-kesan negatif yang dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya oleh golongan remaja. Persoalannya, apakah kesan-kesan negatif  penyalahgunaan alat komunikasi kepada remaja pada masa ini?
 Salah satu impak negatif kepada remaja ialah remaja akan hilang fokus ketika sesi pembelajaran. Hal ini berlaku disebabkan oleh sikap ketagih mereka dan gagal menguruskan masa dengan baik. Sebagai contoh, ada remaja yang  berbual dengan rakan-rakan melalui laman sosial sehingga lewat malam sehinggakan mereka mengantuk di dalam kelas.  Ada juga remaja terutamanya yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Kesannya, prestasi pelajaran mereka akan merosot kerana tidak memberikan tumpuan ketika guru mengajar di dalam kelas. Semasa menerima keputusan peperiksaan mereka akan menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jelaslah bahawa penyalahgunaan alat telekomunikasi dapat menyebabkan remaja hilang fokus ketika sesi pembelajaran.
 Selain itu, penggunaan alat komunikasi yang keterlaluan juga akan meningkatkan kos hidup remaja. Sikap suka menggunakan telefon untuk berhubung tanpa mengira keperluan sebenar menyebabkan bil telefon turut bertambah. Lebih membebankan  lagi jika penggunaannya berlaku di luar kawalan remaja sehingga peningkatan bil telefon mencecah ratusan ringgit setiap  bulan. Remaja terpaksa membelanjakan sebahagian pendapatannya untuk membayar bil telefon. Penggunaan telefon bimbit yang tanpa batasan menyebabkan remaja mengalami masalah kewangaan yang serius. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri.  Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius sebagai akibat sikap mereka yang beraja di mata, bersultan di hati. Tegasnya, peningkatan kos hidup remaja turut berlaku disebabkan oleh sikap remaja yang menyalahgunakan alat telekomunikasi mereka.
 Sekiranya ditinjau dari sudut yang lain, penggunaan alat telekomunikasi yang tidak terkawal akan menjejaskan tahap kesihatan remaja. Hal ini berlaku kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak. Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Sekiranya masalah ini berlaku, kehidupan dan masa hadapan remaja akan hancur ibarat kaca terhempas ke batu. Kehidupan remaja akan sentiasa dibayangi dengan kematian kerana kanser merupakan pembunuh secara senyap. Izharlah bahawa kesihatan remaja akan terjejas jika tidak menggunakan alat telekomunikasi dengan berpada-pada.
          Sebagai konklusinya, alat telekomunikasi memberikan pelbagai impak negatif kepada remaja jika disalahgunakan. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan yang banyak terlibat dengan gejala yang tidak sihat kesan perkembangan teknologi komunikasi kini. Hal ini kerana golongan belia adalah golongan yang senang terpengaruh dan dipengaruhi. Oleh itu, ibu bapalah perlulah menyelamatkan remaja daripada ketagih kepada alat-alat telekomunikasi yang semakin berkembang pesat di negara kita bagaikan lipas kudung. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Kita sebagai manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya. Sekiranya pelbagai langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dilaksanakan secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam maka impian untuk melahirkan remaja yang berwawasan dapat direalisasikan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.




UNGKAPAN MENARIK
1. bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan
2. beraja di mata, bersultan di hati
3. sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya
4. ibarat kaca terhempas ke batu
5. bagaikan lipas kudung
6. hangat-hangat tahi ayam
7. pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

FAKTA
Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak.

3 comments: