Saturday, September 3, 2016

REVISI PRAPERCUBAAN NOVEL 2



SOALAN 2
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca dan sebabnya seperti yang terkandung dalam setiap novel. (8 markah)

JAWAPAN 2
     Berdasarkan dua buah novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latib bin Talib dan novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat satu peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca dan terkandung sebab dalam peristiwa itu.

     Dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, peristiwa yang dapat memberikan teladan ialah peperangan yang sengit berlaku di Bukit Candu. Walaupun banyak pemimpin yang hebat telah terkorban, namun askar Tanah Melayu tidak pernah menyerah kalah dan berundur. Mereka berperang sehingga titisan darah terakhir demi mempertahankan negara yang dicintai. Peristiwa ini telah menjelaskan sikap “ biar putih tulang, jangan putih mata”. Peristiwa ini juga menunjukkan semangat nasionalisme dan cinta akan tanah air yang mendalam tentera Tanah Melayu pada masa itu supaya musuh negara tidak dapat menjajah tanah air.

      Dalam novel Tirani pula, peristiwa yang dapat memberikan teladan ialah peristiwa kehidupan Waheeda selepas diceraikan oleh suaminya, Zahid. Zahid yang panas baran telah menceraikan Waheeda dengan talak satu selepas mensyaki Waheeda bersikap curang terhadapnya. Waheeda telah mengalami masalah kemurungan dan migrain meroyan kerana diceraikan oleh Zahid selepas kelahiran anak sulung mereka. Walau bagaimanapun, Waheeda berjaya membangunkan chalet yang baru dibelinya di Cameron Highlands dan membesarkan anak perempuannya, Izzati sehingga dia berjaya melanjutkan pelajarannya di universiti selepas penyakitnya sembuh. Peristiwa ini memberikan kesedaran kepada pembaca supaya kehidupan harus diteruskan walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Untuk menghadapi rintangan hidup, kita perlulah bersikap tabah dan gigih supaya impian hidup dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment