Sunday, November 6, 2016

KARANGAN SPM 5/16



Soalan:

Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini semakin kurang diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca wujudnya keadaan ini dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.

Karangan Contoh:
 
     Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, malangnya tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Buktinya, sampah-sarap dibuang di merata-rata tempat telah mengotorkan dan menyakitkan mata memandang bukan lagi perkara asing di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami punca permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.

     Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masyarakat kini menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah jawapannya ialah anak-anak. Menyaksikan ibu bapa seperti anjing dengan kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mendorong mereka melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Sikap ini dapat diumpamakan seperti marahkan pijat, kelambu dibakar. Segala perlakuan ini menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut yang akan memberi impak kepada perlakuan mereka yang tidak bermoral.

     Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara, berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Tidak keterlaluan dikatakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Lantaran itu, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku’ dan ‘engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

     Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan fatamorgana hidup terutamanya dalam aspek kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saling mengenali dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang.

      Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum yang bengkok terus menjadi patah, langkah-langkah untuk mengembalikan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan telah dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Tegasnya, dalam usaha menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri masyarakat kita, maka perubahan dalam sistem pendidikan wajib dilaksanakan.
 
      Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita iaitu Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun begitu, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura mendidik rakyatnya. Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun, Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka. Izharlah bahawa hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat menanam kesedaran sivik dalam diri masyarakat kita.

      Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kesedaran sivik rakyat Malaysia semakin luntur dan beberapa langkah dapat diambil untuk menangani permasalahan tersebut. Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan generasi muda kita kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Dalam menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.
Janganlah diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh, marilah kita bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa menunggu hari esok.

KARANGAN SPM 4/16



Soalan:

Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam kehidupan seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan negara.

     Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan perhatian.  Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

     Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.

     Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi dengan kuku.

     Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Kewujudan ICT dapat membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.  Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di negara kita.

     Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui kemajuan bidang ICT di negara kita.

     Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

     Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.



KARANGAN SPM 3/16



Soalan:

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan di atas.

Karangan Contoh:

      Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap,  “Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

      Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat  mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. 

      Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

      Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan mencuri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

      Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

    Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.


      Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

KARANGAN SPM 2/16



Soalan:
Murid memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. Bincangkan peranan yang dapat anda mainkan untuk merealisasikan konsep tersebut.

Karangan Contoh:

      Ungkapan "Sekolahku Syurgaku" sering diperkatakan baik dalam kalangan pendidik mahupun pelajar. Malah kita dapat melihat pada dinding-dinding sekolah juga terukir ungkapan tersebut. Ungkapan itu amat bermakna jika diteliti, diselusuri dan difahami akan maksudnya. Sekolah yang juga dikenali sebagai alma mater dapat ditakrifkan secara umum sebagai tempat untuk menimba ilmu. Manakala syurga pula ditafsirkan sebagai tempat yang indah, menarik dan gembira ketika berada di dalamnya. Oleh yang demikian, ungkapan "Sekolahku Syurgaku" melambangkan bahawa sekolah merupakan tempat yang indah dan menarik ketika menjejakkan kaki ke dalamnya. Malangnya, situasi sekolah pada hari ini  tidak lagi diumpamakan seperti syurga oleh para murid. Hal ini terbukti apabila banyak masalah sosial seperti buli, vandalisme dan melawan serta memukul guru berlaku di sekolah. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak kerana melibatkan masa hadapan para murid yang merupakan peneraju tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebelum terlewat, saya sebagai murid yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan yang penting supaya konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dapat menjadi kenyataan.

      Sebagai membuka tirai perbincangan kita, salah satu peranan signifikan saya ialah saya akan membantu pihak sekolah menjaga kawasan persekitaran sekolah agar sentiasa bersih. Apabila persekitaran sekolah sentiasa dijaga dengan baik, sudah tentu murid-murid tidak akan menerima sebarang masalah yang akan mengganggu mereka. Aktiviti bergotong-royong harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah dan saya akan menyertai aktiviti ini bersama dengan warga sekolah yang lain. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing.  Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, saya akan memungut sampah atau membersihkan longkang. Dengan ini, murid-murid tidak dijangkiti dengan wabak penyakit yang berbahaya seperti demam denggi yang kini semakin menular di negara kita. Suasana persekitaran sekolah yang bersih akan menyebabkan murid-murid berasa kondusif untuk menuntut ilmu. Tegasnya, penjagaan kebersihan sekolah merupakan antara peranan saya untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. 

      Peranan saya yang seterusnya ialah saya akan membantu pihak sekolah mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam  pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar.  Dalam situasi ini,  saya dan rakan-rakan juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya murid-murid lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku. Bukan itu sahaja, suasana yang seumpama taman ini dapat memberikan ketenangan jiwa dan melepaskan tekanan murid-murid yang telah berhempas-pulas melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam kelas. Mereka boleh menikmati keindahan taman ini pada waktu rehat sambil berbual-bual dengan rakan-rakan untuk berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka bagai isi dengan kuku. Jelaslah bahawa usaha saya untuk mengadakan taman bunga di sekolah bersama pihak sekolah dapat menjayakan konsep ‘Sekolahku, Syurgaku’.

      Jika dilihat dari sudut yang berbeza, saya juga akan membantu pihak sekolah mengecat bangunan sekolah semula.  Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ‘Sekolahku Syurgaku’ perlu ditulis pada bangunan sekolah supaya murid-murid sentiasa membaca dan menyedari tanggungjawab mereka untuk menjadikan sekolah sebagai syurga dan bukannya neraka untuk mereka. Untuk menjayakan program ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah berkolaborasi dengan pihak sekolah dalam penyediaan cat dan berus cat. Saya dan murid-murid yang lain juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah.  Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata yang bermotivasi. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar. Ringkasnya, bangunan sekolah yang dicat semula akan menjadikan sekolah lebih menarik dilihat dan dapat merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.

      Dalam nada yang lain, konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dapat dicapai sekiranya sesebuah sekolah itu tidak mempunyai sebarang kes disiplin yang melibatkan pelajar seperti kes buli, ponteng kelas, vandalisme, gangsterisme dan banyak lagi. Keadaan ini bukan sahaja mengundang nama buruk sekolah, tetapi juga menyebabkan terdapat segelintir pelajar berasa takut untuk menghadirkan diri ke sekolah. Hal ini secara langsung, mencemarkan keharmonian sesebuah sekolah. Oleh itu, saya tidak akan melibatkan diri dalam masalah sosial di sekolah dan sentiasa berdisiplin kerana disiplin merupakan tunjang kepada keharmonian serta kejayaan sesebuah sekolah. Saya akan sentiasa mematuhi peraturan yang telah digariskan oleh pihak sekolah seperti menepati masa, bersopan santun ketika bertutur, menghormati guru-guru dan rakan-rakan, dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah. Saya juga akan sentiasa peka akan masalah disiplin yang berlaku di sekolah dan segera melaporkan kepada pihak sekolah jika berlakunya kes ugut, vandalisme dan merokok di sekolah. Tindakan saya ini dapat mengelakkan masalah disiplin daripada berleluasa dari peringkat awal lagi kerana mencegah lebih baik daripada mengubati dan sebelum nasi menjadi bubur. Murid-murid juga akan berasa selamat berada di sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar. Pendek kata, pengelakan saya daripada terjebak dalam masalah disiplin di sekolah turut dapat memudahkan usaha untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.


      Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa peranan yang perlu saya mainkan untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. Sekiranya sekolah dapat diumpamakan seperti syurga, sudah pasti setiap individu akan merasai ketenangan dan keseronokan apabila berada di sekolah. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, semua orang pastinya tidak akan menolak jika mereka diberi peluang untuk belajar dan mengajar di sekolah seperti ini. Oleh itu, peranan pihak sekolah amat penting untuk menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ supaya iklim kawasan sekolah lebih menarik dan kondusif untuk meningkatkan prestasi murid-murid sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Namun begitu, kita tidak seyogianya meletakkan tugas ini di atas pundak pihak sekolah semata-semata kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lantaran itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan ini, impian negara untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama tidak lagi menjadi angan-angan Mat Jenin dan kemajuan negara akan setaraf dengan negara-negara lain di pentas global ibarat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Marilah kita bersama-sama menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.